Thursday, July 5, 2012

PERSATUAN ALUMNI UNTUK APA DAN UNTUK SIAPA??


Masih lagi dengan tajuk yang hampir sama, membangkitkan isu Persatuan Alumni yang tiada kesudahannya. Namun di sini pihak Persatuan Alumni menulis artikel ini bukan untuk menunding jari mana-mana pihak tetapi sekadar ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penulis artikel sebelum ini  iaitu Tn Haji Azami yang menulis menerusi luahan hati beliau dan keprihatianannya terhadap setiap aktiviti-aktiiti Persatuan Alumni. Penampilan artikel beliau menunjukkan keberanian dan berjaya membangkitkan seribu persoalan demi masa depan Persatuan Alumni sendiri.


Selepas tamat peringkat Diploma atau Ijazah dari Universiti dan kemudian masing-masing sibuk mencari pekerjaan sehinggakan masih ada segelintir Alumni yang terkapai-kapai mencari arah dan ada juga yang kurang bernasib baik tiada arah tuju selepas bergraduat. Manakala ada sesetengahnya pula  hanyut dalam dunia pekerjaan, sibuk mencari rezeki duniawi demi bertapak untuk membina empayar yang kukuh untuk masa depan.  Walhal sehingga terlupa dimana bumi dipijak langgit dijunjung. Mungkin mereka yang masih terkapai-kapai itu terus lupa kerana tidak berpijak dibumi yang nyata dan bagi mereka yang berada di empayar yang tinggi terus mendongak ke langit hingga dibuai mimpi indah. Namun bukan niat penulis untuk menyalahkan sesiapa disini.


Kadang kala kekangan waktu bekerja dan juga waktu bersama keluarga menyebabkan tiada masa untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti berpersatuan. Namun bagi mereka-mereka yang terlupa akan Persatuan Alumni diharapkan artikel ini dapat membawa kembali UPM sebagai dihati mereka walau dimana jua kita berada.  Di UPM juga lah tempat kita menimba ilmu, mengajar erti kehidupan. Pihak Persatuan Alumni mengakui penyertaan Alumni dari generasi baru menyertai program-program dan aktiviti-aktiviti Alumni boleh dibilang dengan jari. Walhal keahlian persatuan mencecah 54 ribu lebih setakat ini. 

Selaku Persatuan Alumni UPM, kami juga berharap dan akan sentiasa bekerja keras agar dapat mengubah senario hala tuju agar sentiasa relevan pada semua ahli hinga ke akhir hayat. Penulis percaya beberapa langkah baru yang telah diambil bermula sesi tahun ini sekurang-kurangnya dapat meningkatkan penyertaan alumni UPM. Dimana dengan penstrukturan semula sekretariat persatuan iaitu dengan kemasukan beberapa staff tetap dan Pengurus Persatuan dapat merakyatkan lagi Alumni dalam semua acara.

Pucuk pimpinan Persatuan Alumni kali ini akan menggalakkan  aktiviti-aktiviti seperti reunion (perjumpaan semula) secara berperingkat-peringkat mengikut tahun graduat atau sebagainya. Persatuan kini sedang giat mencari dan melantik wakil-wakil Alumni yang sanggup menjalankan kerja-kerja amal secara sukarela mengikut tahun graduan masing-masing sebagai agen atau pengedar dalam menyalurkan maklumat dan selaku orang tengah  atau perantara di antara Alumni dan Persatuan. Mereka-mereka yang dipilih ini akan dilantik secara rasmi dengan diberikan sijil penghargaan dan sedikit sumbangan khas atas kerja-kerja amal yang mereka lakukan seperti menjemput rakan-rakan Alumni lain seangkatan untuk sama-sama menghadiri setiap majlis yang diadakan oleh Persatuan Alumni demi menyemarakkan lagi perasaan Cintakan UPM. Atas inisiatif Alumni sebegini perlulah dihargai dan diikhtiraf dengan memberikan cenderahati atau sebagai.


Namun apa yang masih dibimbangkan penulis, walau sebesar mana caranya dan pelbagai kaedah serta strategik yang diguna pakai, masih jua tidak bermakna jika tiada penglibatan dan perasaan Cintakan UPM ditunjukkan dari kalangan Alumni kita sendiri. Bak kata pepatah bagai mencurah air di daun keladi.Di harapkan Alumni generasi baru kini dapat membuka mata seluas-luasnya dan menyumbangkan tenaga dengan menghadiri di setiap program yang diadakan. Dengan ini Alumni sedar akan kewujudan dan peranan serta fungsi yang dimainkan oleh Persatuan Alumni kepada mereka kelak. 

Semoga catatan balas ini, diharapkan mendapat sedikit maklumbalas dan kesedaran yang positif dari kalangan Alumni yang membaca artikel ini. Semoga setiap pertemuan dibumi Serdang UPM  dapat mengeratkan lagi jalinan kasih sayang dan menjalin sentuhan hati berpanjangan. Marilah kita selaku Alumni UPM beramai-ramai buktikan yang Alumni UPM, Alumni yang Prihatin dan Penyanyang kepada Universiti Pertanian / Putra Malaysia. Amin….



Created By :  Along :)  ‘Alumni 2006

Wednesday, June 13, 2012

PERSATUAN ALUMNI UPM SIAPA PUNYA??


         Semasa menghadiri Syarahan Perdana Yayasan Pak Rashid anjuran Pusat Alumni dengan kerjasama Persatuan Alumni UPM yang di sampaikan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Arshad bin Ayob, seorang sahabat telah memberi komen yang menarik mengenai kehadiran peserta. Dewan Auditorum Fakulti Kejuruteraan Pertanian tidak penuh. 
Mengapa tidak penuh ??? dan mengapa yang hadir kebanyakan Alumni Pertanian ???, mana perginya ahli Fakulti lain dan Alumni Fakulti lain???.

          Empat belas hari kemudian Mesyuarat Agung Persatuan Alumni telah diadakan pada 21 April 2012. Lagi sekali hanya 30 orang Alumni yang hadir kebanyakan mereka lulusan pertanian. Mengapakah Alumni lain tidak hadir???. Adakah mereka tidak ada ingatan dan perasaan  kasih sayang terhadap alma matter mereka sehingga mereka lupa tempat yang pernah mencurahkan ilmu kepada mereka sehingga mereka menjadi insan pandai yang berilmu. Tidakkah boleh mereka berkorban sedikit masa untuk Persatuan Alumni.

Antara Alumni yang hadir ketika Mesyuarat Agung Persatuan baru-baru ini



Hadirin khusyuk mendengar perbincangan ketika forum 


           Persoalan ini terus bermain dibenak mereka yang perihatin. Mengapa kebanyakan aktiviti Persatuan Alumni disertai hanya sedikit ahli dan kebanyakan mereka adalah dari fakulti pertanian atau lulusan pertanian sama ada dari Kolej Pertanian dan Universiti Pertanian. Dimanakah bekas pelajar fakulti lain yang ada lebih 16 semuanya di UPM yang sekarang telah dikenali sebagai Universiti Putera Malaysia. Berdasarkan rekod bahawa ahli Persatuan Alumni UPM sekarang berjumlah anggaran melebihi 54,000 orang. Bukankah mereka semua ahli persatuan alumni, mengapa mereka tidak aktif didalam persatuan. Jahilkah mereka mengenai alumni atau tidak berminatkah mereka???.

         Satu perkara yang masih bermain difikiran kita semua ialah apa yang diucapkan oleh En Suhaimee Abu Hassan seorang alumni dan usahawan berjaya juga seorang ahli panel forum semasa mesyuarat Agung PAUPM 21 April 2012 yang lalu. Beliau menegur di atas bilangan kecil kehadiran mesyuarat yang kebanyakan mereka adalah dari aliran pertanian. Beliau menyeru supaya alumni keluar dari kepumpung pertanian dan melihat lebih luas lagi. Glamer dan keagungan pertanian sepatutnya dihadkan dan dibatasi. Walaubagaimanapun Persatuan harus menetapkan agenda baru kerana mereka di fakulti lain seperti kejuruteraan, kedoktoran veterinar, sains, ekologi manusia, bahasa moden, reka bentuk dan senibina,  perubatan dan sains kesihatan, computer, alam sekitar, computer, teknologi makanan, ekonomi dan lain-lain apabila lulus dan bergraduate mereka juga adalah alumni. Mereka harus ditarik untuk aktif di bersama Persatuan Alumni.

Antara panel yang dijemput bersempena Mesyuarat Agong Tahunan 2011-2012. Dari kiri Puan Mona Din, En Rashidi Ishak, Dato Dr. Mohamad Hashim Ahmad Tajudin (Moderator), Prof. Dr. Md. Yusof Husin dan Encik Suhaimee Abu Hassan  sedang memberikan pendapatnya.


    Untuk mendapat penyertaan yang menyeluruh Persatuan Alumni perlu mencari jalan untuk mengenengahkan aktiviti yang boleh menarik minat. Untuk tujuan itu antara lainnya Persatuan bolehlah menubuhkan satu badan pemikir yang ahlinya terdiri dari wakil setiap fakulti. Badan pemikir ini boleh mencadangkan aktiviti-aktiviti baru yang boleh menarik minat penyertaan ramai selain mengekalkan aktiviti tradisi yang boleh ditambahbaik.

          Akhir sekali hebahan dan publisiti sangat perlu dipertingkatkan supaya pelajar semasa dan orang ramai sedar akan kehadiran Persatuan Alumni dan peranan yang dimainkan untuk faedah dan kebaikan Alumni serta masyarakat. Tidak ada makna jika aktiviti yang hebat dijalankan  jika kebanyakan orang tidak mengetahui dan tidak berserta. Oleh itu Mahasiswa UPM perlu dimaklumkan akan kehadiran Persatuan Alumni pada hari pertama mereka menjejakkan kaki ke kampus lagi.



Luahan rasa Alumni 74' 
Haji Azami Husin

_____________________________________________________________________

Thursday, January 12, 2012

Serdang Jadi Bandar Biomas

SERDANG: Sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan untuk projek Kempen Kesedaran Bandar Biomas Serdang, Universiti Putra Malaysia (UPM) sejak Mac lalu.

Projek di kawasan seluas 30.4 hektar membabitkan 15,000 penduduk di sekitar Taman Sri Serdang dan Pekan Sri Serdang itu, turut mendapat sokongan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Jepun (MAFF).

Kempen Biomas bertujuan menjadikan sisa pepejal kepada sisa organik dapat digunakan terhadap tumbuhan di samping mengurangkan kadar pembuangan sisa berkenaan. Ia terbahagi kepada empat bahagian antaranya Biogas (tenaga elektrik), Biodiesel (bahan bakar), Biokompos (baja) dan Biochar. Dekan Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul UPM merangkap Ketua projek, Prof Dr Mohd Ali Hassan, ketika ditemui berkata, projek yang sedang rancak dijalankan itu diharap akan berjaya dengan kerjasama penduduk dan pelajar UPM.

“Kami menyasarkan tempoh tiga tahun bagi melaksanakan projek ini yang sudah berjaya di Jepun. Melihat perkembangan sihat pengurangan pembuangan sisa pepejal secara terbuka di sana, kami berharap projek ini juga berjaya di sini.

“Tempoh yang diambil sangat singkat bagi meyakinkan orang ramai mengenai keberkesanan projek ini, tetapi dengan kempen berterusan saya yakin Serdang akan menjadi bandar Biomas jika orang ramai tahu pentingnya bahan buangan yang dikitar semula seterusnya dijadikan bahan organik,” katanya pada majlis taklimat kempen kesedaran Bandar Biomas Serdang, di sini, semalam.


Hadir sama Naib Canselor UPM, Datuk Ir Dr Radin Umar Radin Sohadi; Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Datuk Dr Nadzri Yahaya; Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi; Wakil Kedutaan Jepun, Shun Ogawa dan Recycle One Inc, Daisuke Tsujimoto.
 
Sementara itu, Dr Nadzri ketika ditemui berkata, melihat kemajuan yang berlaku terhadap Jepun, pihaknya yakin projek ini akan berhasil di samping dapat melupuskan tapak pembuangan sisa pepejal daripada terus beroperasi.

“Sebanyak 178 tapak pelupusan beroperasi di Malaysia dan daripada jumlah itu hanya lapan saja dikategorikan sebagai sanitari selebihnya adalah tapak buangan terbuka tanpa kemudahan rawatan air larut resap.

“Dengan kempen ini, kerajaan berharap dapat melupus dan menutup dengan selamat tapak pelupusan tidak sanitari yang sedia ada dan dengan itu jangka hayat sesebuah tapak itu dapat dipanjangkan,” katanya.

Sumber: Harian Metro 6 Jan. 2012

Tuesday, January 10, 2012

Distinguished UPM Alumni Lecture Series (DALS): Living The Serdang Story

“SECURITY IN SOCIAL NETWORKING”
15 Disember, 2011- Satu ceramah anjuran Pusat Alumni iaitu Distinguished UPM Alumni Lecture Series (DALS): Living The Serdang Story bertajuk “Security In Social Networking” telah berlangsung di Dewan Kuliah Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UPM. Ceramah disampaikan oleh YBhg. Lt. Kol. Prof. Dato’ Husin Jazri, Ketua Pegawai Eksekutif Cyber Security Malaysia. Majlis berlangsung pada 10 pagi dan berakhir pada pukul 12.00 tengahari. Acara dimulakan dengan nyanyian Negaraku dan lagu Putra Gemilang diikuti ucapan alu-aluan daripada Dekan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Prof. Dr. Ramlan Mahmod dan ucapan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar
dan Alumni) UPM, Y.Bhg Prof. Dr. Mohd Fauzi Haji Ramlan,







Penceramah jemputan Prof. Dato’ Husin Jazri menekankan keselamatan dalam rangkaian sosial masakini seperti Facebook, Twitter, dan sebagainya sangat penting. Beliau menjelaskan masih ramai diantara kita mudah terpedaya memberikan maklumat peribadi melalui rangkaian sosial ini tanpa memikirkan akibat yang bakal mereka tempuhi.
Beliau juga menunjukkan beberapa kes yang melibatkan penipuan melalui internet yang menjurus kepada kes jenayah seperti rogol, rompakan, bunuh dan sebagainya. Menurut Prof Dato’ Husin ada diantara mereka dengan mudah meluahkan dan mengemaskini status sama ada berbentuk peribadi, kegiatan harian atau pun tugasan pejabat dengan mudah.
Kebanyakan pengguna  tanpa sedar klik ke link yang membawa kepada muat turun dan menyebabkan maklumat peribadi mereka didedahkan. Justeru itu beliau menegaskan agar pengguna sentiasa berhati-hati dan jangan mudah mendedahkan semua maklumat peribadi melalui rangkaian sosial masing-masing. Walaubagaimanapun, beliau tidak menafikan kehadiran jaringan komunikasi ini juga memberi faedah jika ia tidak disalahgunakan.
Ceramah ini memberi banyak initipati yang menarik khususnya kepada golongan pelajar yang sentiasa menggunakan jaringan sosial untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan mereka agar sentiasa berwaspada jangan mudah mendedahkan maklumat peribadi sewenang-wenang nya kepada orang yang tidak dikenali. Majlis tamat pada pukul 12.00 tengahari diikuti jamuan ringan untuk hadirin.



Penceramah jemputan Prof. Dato Husin Jazri sedang memberikan ceramah




Antara tetamu kehormat yang hadir