Thursday, November 17, 2011


KANGAR, 13 November – Delegasi Penyelidik Malaysia yang diketuai oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya merangkul 12 pingat emas pada penyertaan kali pertama di 36th International Invention Show (INOVA 2011) yang berlangsung di Zagreb dekat sini yang berakhir semalam.

Deligasi dari Malaysia yang turut diwakili oleh Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaysia Pahang, Sekolah Menengah Sains Kuching Sarawak, Sekolah Menengah Teknik Teluk Intan Perak, Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra Perlis secara keseluruhannya telah meraih 12 pingat emas, 6 perak dan 5 pingat gangsa.

Lebih membanggakan, pada pertandingan berprestij yang disertai oleh lebih 22 negara di seluruh dunia itu juga, Penyelidik UniMAP Prof. Madya Dr. Hazry Desa turut dinobatkan sebagai Best International Inventor Award melalui produk penyelidikannya e-SAVE:Easy Sprayer Aerial Vehicle selain turut memenangi pingat emas pameran.

Produk tersebut yang menggunakan teknologi sensor disasarkan kepada golongan petani bagi memudahkan urusan penyemburan racun, baja dan menyiram tanaman.

Naib Canselor UniMAP, Brig Jen. Dato’ Prof. Dr. Kamarudin Hussin yang mengetuai delegasi berkata, lapan pingat emas diraih oleh penyelidik dari UniMAP, dua pingat emas oleh Penyelidik Universiti Malaysia Pahang manakala masing-masing satu disumbangkan oleh penyelidik muda dari Sekolah Menengah Sains Kuching dan Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra.

“Kejayaan ini sememangnya sesuatu yang amat membanggakan memandangkan pertandingan ini telah dianjurkan untuk kali ke-36 dan ini merupakan penyertaan kali pertama penyelidik dari Malaysia,” katanya.

Menurut Prof. Dr. Kamarudin, sebagai Naib Canselor UniMAP, kejayaan yang begitu memberansangkan yang ditonjolkan oleh penyelidik UniMAP melalui 8 pingat emas ini merupakan titik permulaan didalam satu perjalanan yang baik untuk memacu penyelidikan UniMAP ke persada Antarabangsa.

Ujarnya, UniMAP mempertaruhkan 7 produk dari kalangan pensyarah dan 8 produk daripada para pelajar UniMAP sendiri menerusi ENVEX Young Researcher Club (EYReC) serta produk dari sekolah angkat UniMAP iaitu Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra Perlis, Sekolah Menengah Vokasional Teluk Intan dan juga Sekolah Menengah Sains Kuching Sarawak.

”Alhamdulillah saya amat berbangga dengan kejayaan 100% yang diraih oleh penyelidik UniMAP baik bagi kategori staf dengan meraih 4 pingat emas, 2 perak dan 1 pingat gangsa. Manakala penyelidik muda UniMAP pula menyumbangkan 4 pingat emas dan satu pingat gangsa.

”Selain Dr. Hazry, pingat emas UNiMAP disumbangkan oleh Mohd. Mustafa Abdullah melalui produknya A Novel Green Cement, Prof. Dr. Syed Alwee Al-Junid Syed Junid dan Prof. Madya Che Mohd. Ruzaidi Ghazali,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Dr. Kamarudin berkata, UniMAP juga mengambil peluang penyertaan pada pameran tersebut untuk memeterai dua memorandum persefahaman dengan dua organisasi dari Taiwan dan Romania.

Bagi perjanjian pertama, ia membabitkan EYReC yang mewakili UniMAP dan Pusat Inovasi dan Kreativiti, Far East Universiti, Taiwan manakala perjanjian kedua adalah antara Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi UniMAP dengan Forum Penyelidik Romania (Romanian Inventors Forum-FIR).

“Kerjasama penyelidikan tersebut yang bertujuan mengembangkan lagi aktiviti penyelidikan terutama di kalangan mahasiswa dan mahasiswi UniMAP khususnya dan pelajar-pelajar sekolah di negeri Perlis,” katanya lagi.

No comments: