Tuesday, November 22, 2011

Hospital Veterinar UPM dinaik taraf HiCOE



MOHAMED Khaled Nordin menyaksikan Prof. Ir. Dr. Mohd. Saleh Jaafar (kiri) dan Dr. Abd. Aziz Jamaluddin (kanan) bertukar-tukar dokumen perjanjian pada majlis perasmian Kompleks Fakulti Perubatan Veterinar di UPM Serdang, semalam.

KUALA LUMPUR 1 Nov. – Hospital Veterinar Universiti Putra Malaysia (UPM) akan dinaik taraf sebagai Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HiCOE) dalam kategori perkhidmatan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, buat masa ini hospital veterinar tersebut telah disenarai pendek berdasarkan keupayaan menawarkan perkhidmatan dan pencapaian cemerlang.

“Negara tidak mempunyai hospital veterinar. Yang ada hanyalah UPM sahaja dan kita tidak boleh berhenti setakat itu. Kita mesti tentukan ia memenuhi keperluan.

“Jadi kita (sedang) dalam peringkat pertimbangan untuk menjadikan hospital ini sebagai HiCOE,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Kompleks Fakulti Perubatan Veterinar UPM di Serdang, dekat sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Naib Canselor UPM (Penyelidikan dan Inovasi) Prof. Ir. Dr. Mohd. Saleh Jaafar dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr. Abd. Aziz Jamaluddin.

Kompleks bernilai lebih RM50 juta itu yang mula beroperasi 1 Januari lalu memiliki kemudahan moden tercanggih di Asia Tenggara merangkumi tiga komponen utama iaitu blok akademik, penyelidikan dan Hospital Veterinar Universiti (UVH) iaitu hospital pengajaran universiti yang serba lengkap.

Selain menyediakan unit penyelidikan haiwan dan surgeri, UVH turut menyediakan klinik bergerak yang beroperasi 24 jam sehari, unit farmasi dan unit radiologi.

Pada majlis tersebut, dua memorandum persefahaman (MoU) turut ditandatangani antara Fakulti Perubatan Veterinar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia dalam menjalankan aktiviti pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan.

Mohamed Khaled berkata, bidang veterinar mempunyai masa depan dan potensi besar setanding perubatan konvensional melibatkan manusia.

Malah tegas beliau, ia turut memainkan peranan penting kepada usaha membangun dan memastikan jaminan bekalan dan keselamatan makanan negara mencukupi.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohamed Khaled berkata, sebagai fakulti perubatan veterinar yang kukuh dan mempunyai hospital sendiri, ia tidak sahaja menyediakan kebolehpasaran graduan yang tinggi tetapi turut memberi sumbangan terhadap keselamatan negara melalui kawalan penyakit epidemik.

Malah kata beliau dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, Hospital Veterinar UPM juga telah menguruskan sebanyak 71,656 kes meliputi kes perubatan biasa haiwan, surgeri dan radiologi serta makmal diagnosis dan menghasilkan pendapatan sebanyak RM3.56 juta.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, selari dengan perubahan dan kemajuan teknologi, para graduan perubatan veterinar amat digalakkan untuk menyambung pengajian ke peringkat tertinggi bagi meningkatkan kemahiran dan pengkhususan serta memberi nilai tambah kepada profesion tersebut.

Sejak ditubuhkan pada 1971, fakulti veterinar UPM telah menghasilkan seramai 1,342 doktor perubatan di peringkat ijazah pertama; 124 di peringkat sarjana dan 134 di peringkat ijazah kedoktoran.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA


No comments:

There was an error in this gadget