Monday, October 24, 2011

TITAH UCAPAN D.Y.M.M. SULTAN SELANGOR CANSELOR UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA DI MAJLIS KONVOKESYEN KE-35 UPM

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan

Salam Sejahtera

Bismillahir Rahmannir Rahim

Segala puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wata’ala, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhamad Salallahu Alaihi Wasallam, kepada seluruh keluarga dan para sahabat Baginda.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin dan rahmat-Nya juga Beta dapat bersama-sama para hadirin sekalian di Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia Kali Ke-35, yang diadakan selama lima hari bermula pada hari ini.

Beta dimaklumi bahawa pada Konvokesyen Kali Ke-35 ini seramai tujuh ribu tiga ratus dua puluh tujuh (7,327) graduan akan menerima ijazah masing-masing. Daripada jumlah ini seramai tiga ratus enam puluh sembilan (369) menerima ijazah Doktor falsafah, satu ribu lapan ratus enam belas (1,816) ijazah Master, empat ribu tujuh ratus empat puluh empat (4,744) ijazah Bacelor dan tiga ratus sembilan puluh lapan (398) Diploma. Apa yang menarik di sini ialah kejayaan UPM mengeluarkan bilangan graduan PhD melepasi tahap tiga ratus lima puluh (350) orang. Ini merupakan satu kejayaan yang membanggakan dan membuktikan kecemerlangan pelajar, penyeliaan dan pengurusan pengajian siswazah.

Beta juga difahamkan bahawa pada Konvokesyen kali ini graduan sulung telah dapat menjayakan program :

- Master Keselamatan Proses dan Pencegahan Kehilangan, - Master Teknologi dan Industri Kayu; dan

- Bacelor Pertanian (Akuakultur)

Beta ucapkan tahniah kepada kumpulan graduan ini dan percaya bidang yang dipilih berpotensi untuk memberi sumbangan yang amat bermakna kepada pembangunan Negara.

Syabas dan tahniah kepada para graduan yang menerima ijazah dan Diploma masing-masing sepanjang lima hari ini. Kejayaan para graduan pada hari ini merupakan perkongsian kegembiraan para ibu bapa dan keluarga. Beta ucapkan tahniah kepada para ibu bapa dan keluarga graduan yang telah memberikan bimbingan serta nasihat kepada graduan untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan dalam ilmu pengetahuan serta mendidik mereka dalam membina peribadi, jati diri dan pegangan moral sehingga berjaya pada hari ini. Kejayaan para graduan pada hari ini merupakan permulaan kepada pelengkap pembangunan tamadun Malaysia yang maju, mempunyai nilai hidup yang berteraskan kepada prinsip yang berkualiti tinggi, adil dan saksama.

Beta berasa sukacita apabila dimaklumkan bahawa UPM telah terpilih bagi menerajui bidang penyelidikan keselamatan makanan (food security) negara. Beta percaya dengan kekuatan kepakaran dan sumber kemudahan yang dimiliki oleh UPM sebagai Universiti Penyelidikan utama negara, penyelidikan dalam bidang ini akan menghasilkan impak yang lebih besar kepada negara dan masyarakat. Beta juga dimaklumkan bahawa Universiti telah mengadakan inisiatif awal dengan pihak industri bagi menghasilkan sumber tenaga alternatif seperti tenaga solar dan kuasa angin sebagai salah satu usaha meningkatkan lagi penghasilan sumber tenaga alternatif dan mengurangkan penggantungan kepada sumber seperti arang dan minyak fosil. Beta berharap para penyelidik UPM akan berusaha bersungguh-sungguh bagi menghasilkan penyelidikan yang memberi manfaat kepada masyarakat terutama dalam keadaan perubahan iklim dan ekonomi semasa.

Beta merasa bangga kerana UPM merupakan satu-satunya universiti di Malaysia yang dipilih bagi melaksanakan pelaksanaan pusat kecemerlangan tenaga hijau dan ‘Green Campus Community’. Apa yang diharapkan, di samping kita terlibat dalam menghasilkan teknologi hijau, kakitangan dan pelajar lepasan UPM akan melaksanakan gaya hidup hijau atau green lifestyle untuk memulihara bumi dan alam sekitar dalam kehidupan seharian mereka.

Beta juga turut berasa bangga apabila dimaklumkan kejayaan UPM mendapat pengiktirafan sebagai Lead University for Aerospace Malaysia Innovation Center (AMIC). Sebagai Lead University, UPM telah diberi kepercayaan agar dapat mengembangkan teknologi yang berkaitan aeroangkasa yang dihasilkan di Malaysia berupaya dimanfaatkan ke seluruh dunia. Ia merupakan satu pusat Penyelidikan yang bersifat pelbagai disiplin kerana pakar UPM yang akan terlibat dengan AMIC datangnya dari Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Sains dan Fakulti Pertanian.

UPM juga telah menempa sejarah apabila lima orang pegawai UPM telah berjaya memenangi empat Kategori daripada enam Kategori Anugerah Akademik Negara 2010 yang diumumkan pada 10 Oktober 2011 yang lalu. Mereka ialah;

Pertama - Professor Emeritus Tan Sri Datuk Dr. Haji Omar bin Abdul Rahman – Anugerah Tokoh Akademik Negara 2010.

Kedua - Professor Madya Dr. Mohamad Pauzi Zakaria – Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal.

Ketiga - Professor Datin Paduka Dr. Aini Idris – Anugerah Inovasi dan Pengkomersilan Produk.

dan yang Keempat ialah, Professor Dato’ Dr. Mohamed Sharif Mohamed Din serta Professor Madya Dr. Mohammad Shatar Sabran – Anugerah Pengajaran.

Di sini Beta ingin menyeru kepada para pelajar supaya jangan lupa kepada Alumni UPM dan tiap-tiap pelajar mestilah aktif dalam alumni ini. Mereka mestilah membalas balik segala jasa UPM selepas mereka mencapai kejayaan dan membantu universiti ini baik dari segi kewangan mahupun pemikiran supaya UPM akan bertambah maju dan dapat mengeluarkan graduan-graduan yang berkualiti yang boleh membina negara pada masa hadapan .

Beta berharap agar para graduan terus memberi sokongan dan bantuan kepada universiti ini bagi memastikan kecemerlangan yang dicapai oleh universiti akan terus terpelihara. Pelbagai cara yang boleh para graduan sumbangkan termasuklah melalui program wakaf ilmu yang baharu sahaja dilancarkan oleh universiti.

Cita-cita Beta adalah untuk melihatkan supaya UPM ini menjadi sebuah universiti yang terunggul yang mana pembelajaran yang diberikan kepada graduan-graduan itu mempunyai kualiti yang tinggi dan tiap-tiap graduan yang keluar dari kampus ini menjadi rebutan kerana kelayakan yang diperolehi daripada universiti ini. Dengan secara tidak langsung UPM akan menjadi sebuah universiti yang mempunyai kualiti dan status yang tinggi yang boleh dibanggakan bukan sahaja di negara kita tetapi juga InsyaAllah dapat bersaing dengan universiti-universiti lain di dunia ini.

Kepada para pensyarah pula, Beta berkenan untuk mengingatkan supaya menanamkan perasaan untuk memberikan dedikasi yang tinggi dan sepenuhnya kepada mendidik para pelajar di UPM ini kerana dengan cara ini sahaja para pensyarah dan juga tenaga pengajar dapat mengeluarkan graduan-graduan yang berkualiti yang boleh diketengahkan di negara kita. Beta ingin menyatakan kepada para pensyarah bahawa adalah tanggungjawab kita untuk membentuk generasi yang akan datang yang boleh menjadi harapan kepada bangsa dan negara.

Sungguhpun UPM ini adalah universiti yang berteraskan sains dan teknologi, tetapi mestilah dipupuk kegemaran dan minat kepada kefahaman sejarah negara kita. Apabila sejarah negara dipelajari dan difahami dengan betul, maka ia tidak akan diputar-belitkan sehingga sejarah negara kita seolah-olah menjadi satu cereka sandiwara atau bangsawan yang boleh diubah mengikut kesedapan halwa telinga. Beta menyatakan perkara ini kerana sejak kebelakangan ini sejarah negara kita banyak yang cuba diputar-belitkan oleh pihak yang tidak bertanggung-jawab sehingga menjadi tunggang-terbalik yang mana ada yang cuba menukarkan satu kesalahan kepada kebenaran. Ini adalah satu perkara yang sangat menyedihkan Beta. Sekali lagi Beta berharap agar dipupuk keinginan mengetahui sejarah kepada pelajar-pelajar kerana sejarah itu adalah seumur hidup.

Para warga universiti dan graduan perlu menempatkan diri di tempat yang sewajarnya dan tidak menjadi umpama bidalan “harapkan pagar, pagar makan padi”. Para warga universiti dan graduan harus memfokus kepada pembangunan modal insan yang berdaya maju, pemantapan penyelidikan dan penyebaran khidmat profesional yang berkesan serta membawa manfaat kepada masyarakat di sekeliling dan negara. Beta berharap kesemua ini dilaksanakan secara profesional demi kepentingan nasional dan tidak bersifat individu atau dipolitikkan. Tanggungjawab universiti bukan sahaja untuk menghasilkan graduan yang serba boleh tetapi negarawan ulung yang dihormati bukan sahaja di dalam negara tetapi di peringkat global.

Akhir sekali, Beta ingin mengingatkan warga UPM supaya sentiasa bersatu hati, mengutamakan integriti, dan mempertingkatkan produktiviti untuk melonjakkan UPM ke tahap yang lebih tinggi. Universiti merupakan satu pusat pemikiran yang serius untuk menyumbang kepada kemajuan bangsa, negara dan sejagat dan bukannya tempat untuk memperjuangkan kepentingan diri sendiri atau partisan yang sempit. Kepentingan umum hendaklah mengatasi kepentingan peribadi. Para pensyarah dan cendekiawan di universiti boleh berlainan pandangan atau pendapat, atau kritikan yang ikhlas dan membina, tetapi hendaklah menghormati dan menyokong sesuatu keputusan yang telah dibuat oleh majoriti . Hal ini akan dapat menyumbang kepada kemajuan UPM secara keseluruhan.

Kepada para pelajar, Beta ingin menyeru supaya sentiasa menjaga tingkah laku dan pekerti yang baik. Dalam keghairahan terhadap sindrom idealisme yang biasa berlaku kepada pelajar, Beta berharap para pelajar dapat mengendalikannya dengan pemikiran yang waras dan memberi pertimbangan yang sewajarnya sebelum mengambil sesuatu tindakan. Apa-apa ketidakpuasan hati terhadap Univesiti, jika ada, hendaklah disampaikan dengan cara yang baik demi menjaga nama baik pelajar dan Universiti sendiri. Apa-apa bentuk tindakan yang bersifat vandalisme tidak mencerminkan budi pekerti dan integriti tinggi pelajar yang berada di gedung ilmu. Bahkan ia mengundang rasa kecewa ibu bapa dan masyarakat yang menaruh harapan tinggi terhadap para pelajar.

Beta doakan semoga usaha murni para graduan, alumni dan warga Universiti Putra Malaysia, diterima sebagai amalan kebaikan yang berkekalan dan mendapat rahmat dan pertolongan Yang Maha Esa.

Sekian,

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

No comments: