Thursday, October 27, 2011

Sultan sedih fakta sejarah diputar-belit

Sultan Sharafuddin Idris Shah beramah mesra dengan para pemenang anugerah universiti sempena Majlis Konvokesyen UPM kali ke-35 di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM Serdang, semalam. - MINGGUAN/FAUZI BAHARUDIN

SERDANG 15 Okt. - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa sedih baginda terhadap tindakan pihak tertentu yang cuba memutarbelitkan fakta sejarah di negara ini.

Sehubungan itu, baginda yang juga Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) meminta pensyarah memupuk minat mahasiswa mengenai kefahaman sejarah walaupun universiti tersebut berteraskan sains dan teknologi.

''Apabila sejarah negara dipelajari dan difahami dengan betul, maka ia tidak akan diputarbelitkan.

''Beta menyatakan perkara ini kerana sejak kebelakangan ini sejarah negara kita banyak yang cuba diputarbelitkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab hingga menjadi tunggang-terbalik dan menukar kesalahan kepada kebenaran,'' titahnya pada majlis Konvokesyen ke-35 UPM di sini, hari ini.

Pada majlis itu, baginda berkenan menyampaikan ijazah doktor falsafah, sarjana, sarjana muda dan diploma kepada 813 graduan.

Turut hadir Naib Canselor UPM, Datuk Ir. Dr. Radin Umar Radin Sohadi dan tiga Pro-Canselor iaitu Tan Sri Dr. Nayan Ariffin, Tan Sri Lim Ah Lek dan Tan Sri Rozali Ismail.

Sultan Sharafuddin turut berkenan mengurniakan hadiah kepada pemenang anugerah peringkat universiti iaitu Pingat Emas Canselor kepada Ng Kit Lin dan Anugerah Pelajaran Diraja kategori bumiputera kepada Elmy Talip dan bagi bukan bumiputera, Ong Ban Shui.

Baginda turut menyampaikan Pingat Emas Alumni kepada Megat Marwan Megat Nizar, Pingat Emas Yayasan Pak Rashid kepada Khairul Na'im Ya'akub, Pingat Emas Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Rashdan Baba kepada Wong Yee May, Hadiah Putra Agribio kepada Low Wei Han dan Hadiah Syed Kechik kepada Nurdiyana Mohamad Tahir (Doktor Perubatan Veterinar).

Pada majlis itu, baginda turut mengingatkan warga UPM supaya sentiasa bersatu hati, mengutamakan integriti dan mempertingkatkan produktiviti bagi melonjakkan universiti itu ke tahap yang lebih tinggi.

''Para pensyarah dan cendekiawan di universiti boleh berlainan pandangan atau pendapat, membuat kritikan yang ikhlas dan membina, tetapi hendaklah menghormati dan menyokong sesuatu keputusan yang telah dibuat oleh majoriti,'' titah baginda.

No comments: