SERDANG: Sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan untuk projek Kempen
Kesedaran Bandar Biomas Serdang, Universiti Putra Malaysia (UPM) sejak
Mac lalu.
Projek di kawasan seluas 30.4 hektar membabitkan 15,000 penduduk
di sekitar Taman Sri Serdang dan Pekan Sri Serdang itu, turut mendapat
sokongan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi),
Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Kementerian Pertanian,
Perhutanan dan Perikanan Jepun (MAFF).
Kempen Biomas bertujuan menjadikan sisa pepejal kepada sisa organik dapat digunakan terhadap tumbuhan di samping mengurangkan kadar pembuangan sisa berkenaan. Ia terbahagi kepada empat bahagian antaranya Biogas (tenaga elektrik), Biodiesel (bahan bakar), Biokompos (baja) dan Biochar. Dekan Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul UPM merangkap Ketua projek, Prof Dr Mohd Ali Hassan, ketika ditemui berkata, projek yang sedang rancak dijalankan itu diharap akan berjaya dengan kerjasama penduduk dan pelajar UPM.
“Kami menyasarkan tempoh tiga tahun bagi melaksanakan projek ini
yang sudah berjaya di Jepun. Melihat perkembangan sihat pengurangan
pembuangan sisa pepejal secara terbuka di sana, kami berharap projek ini
juga berjaya di sini.
“Tempoh yang diambil sangat singkat bagi meyakinkan orang ramai mengenai keberkesanan projek ini, tetapi dengan kempen berterusan saya yakin Serdang akan menjadi bandar Biomas jika orang ramai tahu pentingnya bahan buangan yang dikitar semula seterusnya dijadikan bahan organik,” katanya pada majlis taklimat kempen kesedaran Bandar Biomas Serdang, di sini, semalam.
Hadir sama Naib Canselor UPM, Datuk Ir Dr Radin Umar Radin Sohadi; Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Datuk Dr Nadzri Yahaya; Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi; Wakil Kedutaan Jepun, Shun Ogawa dan Recycle One Inc, Daisuke Tsujimoto.
Sementara itu, Dr Nadzri ketika ditemui berkata, melihat kemajuan
yang berlaku terhadap Jepun, pihaknya yakin projek ini akan berhasil di
samping dapat melupuskan tapak pembuangan sisa pepejal daripada terus
beroperasi.
“Sebanyak 178 tapak pelupusan beroperasi di Malaysia dan daripada jumlah itu hanya lapan saja dikategorikan sebagai sanitari selebihnya adalah tapak buangan terbuka tanpa kemudahan rawatan air larut resap.
“Dengan kempen ini, kerajaan berharap dapat melupus dan menutup
dengan selamat tapak pelupusan tidak sanitari yang sedia ada dan dengan
itu jangka hayat sesebuah tapak itu dapat dipanjangkan,” katanya.
Sumber: Harian Metro 6 Jan. 2012