Thursday, January 12, 2012

Serdang Jadi Bandar Biomas

SERDANG: Sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan untuk projek Kempen Kesedaran Bandar Biomas Serdang, Universiti Putra Malaysia (UPM) sejak Mac lalu.

Projek di kawasan seluas 30.4 hektar membabitkan 15,000 penduduk di sekitar Taman Sri Serdang dan Pekan Sri Serdang itu, turut mendapat sokongan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Jepun (MAFF).

Kempen Biomas bertujuan menjadikan sisa pepejal kepada sisa organik dapat digunakan terhadap tumbuhan di samping mengurangkan kadar pembuangan sisa berkenaan. Ia terbahagi kepada empat bahagian antaranya Biogas (tenaga elektrik), Biodiesel (bahan bakar), Biokompos (baja) dan Biochar. Dekan Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul UPM merangkap Ketua projek, Prof Dr Mohd Ali Hassan, ketika ditemui berkata, projek yang sedang rancak dijalankan itu diharap akan berjaya dengan kerjasama penduduk dan pelajar UPM.

“Kami menyasarkan tempoh tiga tahun bagi melaksanakan projek ini yang sudah berjaya di Jepun. Melihat perkembangan sihat pengurangan pembuangan sisa pepejal secara terbuka di sana, kami berharap projek ini juga berjaya di sini.

“Tempoh yang diambil sangat singkat bagi meyakinkan orang ramai mengenai keberkesanan projek ini, tetapi dengan kempen berterusan saya yakin Serdang akan menjadi bandar Biomas jika orang ramai tahu pentingnya bahan buangan yang dikitar semula seterusnya dijadikan bahan organik,” katanya pada majlis taklimat kempen kesedaran Bandar Biomas Serdang, di sini, semalam.


Hadir sama Naib Canselor UPM, Datuk Ir Dr Radin Umar Radin Sohadi; Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Datuk Dr Nadzri Yahaya; Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi; Wakil Kedutaan Jepun, Shun Ogawa dan Recycle One Inc, Daisuke Tsujimoto.
 
Sementara itu, Dr Nadzri ketika ditemui berkata, melihat kemajuan yang berlaku terhadap Jepun, pihaknya yakin projek ini akan berhasil di samping dapat melupuskan tapak pembuangan sisa pepejal daripada terus beroperasi.

“Sebanyak 178 tapak pelupusan beroperasi di Malaysia dan daripada jumlah itu hanya lapan saja dikategorikan sebagai sanitari selebihnya adalah tapak buangan terbuka tanpa kemudahan rawatan air larut resap.

“Dengan kempen ini, kerajaan berharap dapat melupus dan menutup dengan selamat tapak pelupusan tidak sanitari yang sedia ada dan dengan itu jangka hayat sesebuah tapak itu dapat dipanjangkan,” katanya.

Sumber: Harian Metro 6 Jan. 2012

Tuesday, January 10, 2012

Distinguished UPM Alumni Lecture Series (DALS): Living The Serdang Story

“SECURITY IN SOCIAL NETWORKING”
15 Disember, 2011- Satu ceramah anjuran Pusat Alumni iaitu Distinguished UPM Alumni Lecture Series (DALS): Living The Serdang Story bertajuk “Security In Social Networking” telah berlangsung di Dewan Kuliah Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UPM. Ceramah disampaikan oleh YBhg. Lt. Kol. Prof. Dato’ Husin Jazri, Ketua Pegawai Eksekutif Cyber Security Malaysia. Majlis berlangsung pada 10 pagi dan berakhir pada pukul 12.00 tengahari. Acara dimulakan dengan nyanyian Negaraku dan lagu Putra Gemilang diikuti ucapan alu-aluan daripada Dekan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Prof. Dr. Ramlan Mahmod dan ucapan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar
dan Alumni) UPM, Y.Bhg Prof. Dr. Mohd Fauzi Haji Ramlan,







Penceramah jemputan Prof. Dato’ Husin Jazri menekankan keselamatan dalam rangkaian sosial masakini seperti Facebook, Twitter, dan sebagainya sangat penting. Beliau menjelaskan masih ramai diantara kita mudah terpedaya memberikan maklumat peribadi melalui rangkaian sosial ini tanpa memikirkan akibat yang bakal mereka tempuhi.
Beliau juga menunjukkan beberapa kes yang melibatkan penipuan melalui internet yang menjurus kepada kes jenayah seperti rogol, rompakan, bunuh dan sebagainya. Menurut Prof Dato’ Husin ada diantara mereka dengan mudah meluahkan dan mengemaskini status sama ada berbentuk peribadi, kegiatan harian atau pun tugasan pejabat dengan mudah.
Kebanyakan pengguna  tanpa sedar klik ke link yang membawa kepada muat turun dan menyebabkan maklumat peribadi mereka didedahkan. Justeru itu beliau menegaskan agar pengguna sentiasa berhati-hati dan jangan mudah mendedahkan semua maklumat peribadi melalui rangkaian sosial masing-masing. Walaubagaimanapun, beliau tidak menafikan kehadiran jaringan komunikasi ini juga memberi faedah jika ia tidak disalahgunakan.
Ceramah ini memberi banyak initipati yang menarik khususnya kepada golongan pelajar yang sentiasa menggunakan jaringan sosial untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan mereka agar sentiasa berwaspada jangan mudah mendedahkan maklumat peribadi sewenang-wenang nya kepada orang yang tidak dikenali. Majlis tamat pada pukul 12.00 tengahari diikuti jamuan ringan untuk hadirin.



Penceramah jemputan Prof. Dato Husin Jazri sedang memberikan ceramah




Antara tetamu kehormat yang hadir